Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) 2012: Satu Pandangan Awal

Cubaan membuat keputusan sama ada mahu menerima opsyen ke Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam dengan maklumat yang kabur dan kurang lengkap punya risikonya sendiri. Itulah hakikatnya walaupun setelah membaca Pekeliling berkenaan pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam telah dikeluarkan oleh pihak JPA semalam.     (Boleh baca di sini pp112011-umum) Kebanyakan penerangan di dalamnya adalah ringkas dan tanpa disertakan dengan Lampiran C – Jadual Gaji dan Jadual Pemindahan Gaji (yang khabarnya diserahkan terus kepada bahagian sumber manusia jabatan masing-masing), membuatkan pertimbangan sama ada memilih masuk ke skim saraan baru ini terasa seperti berat sebelah.

Aku dimaklumkan semua jabatan Kerajaan di Malaysia akan memberi penerangan lanjut minggu hadapan. Aku kurang pasti apa kesnya dengan kami-kami yang sedang menyambung pelajaran atau berada di luar Negara ini. Tempoh tandatangan Opsyen pula adalah antara 16 – 30 Disember, atau sehingga 22 Disember bagi pegawai-pegawai di dalam kumpulan “Premier” (the top post of the civil service). Bermakna tempoh Peralihan ini adalah lebih kurang 2 minggu. Ini bukanlah suatu masa yang lama untuk membuat keputusan yang terbaik. Memandangkan aku telah berkhidmat 10 tahun, hampir 9 tahun setengah di dalam SSM, maka pengalaman lalu mengajar agar lebih berhati-hati membuat keputusan.

Semasa memilih SSM, adalah sedikit perasaan ralat kerana berlakunya kesilapan perkiraan elaun khidmat awam bagi kami-kami yang baru berkhidmat ketika itu. Ketika opsyen dibuat elaunnya lebih tinggi. Tidak berapa lama selepas itu, ianya ditarik balik dan kami perlu menandatangani opsyen baru. Walaubagaimanapun, oleh kerana aku baru sahaja memulakan perkhidmatan, aku beranggapan dan membuat keputusan adalah lebih baik untuk memilih bersama dengan ‘majority’ yang turut berpindah ke SSM. Mungkin itu adalah keputusan yang terbaik buat masa itu.

Kini, memandangkan aku tiada sebarang maklumat tepat berkenaan Lampiran C dan Jadual Gaji yang baru (hanya gambaran kasar berdasarkan contoh Gred gaji lain), aku berasa ada juga kebaikannya aku tidak tahu lagi. Ini membolehkan aku membuat keputusan bukan semata-mata atas dasar gaji. Tipulah kalau aku katakan aku tak mahu sebarang kenaikan gaji. Kenaikan gaji bagi aku bukan membantu aku seorang, malah semua ahli keluargaku. Namun, pemilihan atas dasar kenaikan gaji pada masa perpindahan opsyen sahaja, tanpa meneliti syarat-syarat lain bukanlah langkah yang bijak. Ramai juga yang aku lihat menasihatkan ‘terima sahaja, banyak faedahnya’, namun keberangkalian orang-orang ini akan membantu kita di saat-saat kita memerlukan atau tersepit atas pilihan yang kurang tepat di kemudian hari adalah amat rendah sekali!

Setelah membaca pekeliling tersebut berulang-ulang kali aku dapati pekeliling memaktubkan: “Bagi pegawai yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA, pegawai akan kekal atas skim perkhidmatan asal serta tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan sistem saraan yang terpakai bagi pegawai sebelum 1 Januari 2012.”

Namun demikian, didapati bahawa bagi pegawai-pegawai yang tidak memilih SBPA, para 93 pekeliling tersebut menyenaraikan beberapa perkara yang tetap akan terpakai kepada mereka:

93.1 Penjumudan Skim Perkhidmatan.
93.2 Bayaran Insentif Yang Ditambatkan Kadar.
93.3 Dasar Bekerja Dari Rumah.
93.4 Program Transformasi Minda.
93.5 Penilaian Prestasi.
93.6 Pingat Perkhidmatan Cemerlang.
93.7 Dasar Pemisah.
93.8 Umur Persaraan Paksa 60 Tahun.
93.9 Kebolehalihan.
93.10 Pembayaran Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan.
93.11 Pengiraan Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan.

Item 93.1 dan 93.11 adalah tidak relevan untuk diperjelaskan dalam kes perkhidmatan pensyarah. Item 93.6 tidak perlu penjelasan lanjut.

Item 93.2 adalah relevan bagi aku kerana selama ini aku telah menerima Bayaran Insentif Perkhidmatan kritical pada kadar 5% drpd gaji pokok. Para 50 menyatakan “Kadar bagi empat (4) bayaran insentif yang ditetap berdasarkan gaji pokok iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP), Bayaran Insentif Pedalaman dan Bayaran Insentif Wilayah adalah ditambat pada kadar gaji bulan Disember 2011.”

Mengikut pemahaman aku, ini bermakna kadar yang diterima sekarang kekal pada jumlah diterima pada gaji bulan Disember 2011 dan tidak akan meningkat lagi berdasarkan kepada gaji pokok. Kecewakah?? Malas mahu diulas!

Item 93.3 adalah kemudahan yang sangat menarik namun tidak diperjelaskan di dalam pekeliling.

Item 93.4 berbunyi seperti keperluan menghadiri kursus-kursus BTN. Selepas melalui 3-4 kursus seumur hayat sebelum ini, satu dua lagi tidaklah mendatangkan kemuslihatan bagi aku. Insya Allah,  aku akan pergi ketika aku sarat mengandung 🙂

Item 93.5 menyatakan berkenaan pemakaian sistem penilaian prestasi baru meliputi penggunaan kaedah pelbagai penilai (multi-rater), Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators) dan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan yang ditambah baik.

Khabarnya sistem penilaian prestasi baru ini “lebih inklusif, adil dan telus selaras dengan keperluan perkhidmatan dan mengandungi elemen baru kompetensi seperti idea inovatif dan kreatif serta sumbangan aktif pegawai di luar tugas rasmi”. Namun, cara dan contohnya tidak dinyatakan di dalam pekeliling. Kemungkinan hal ini akan turut diserahkan kepada bahagian sumber manusia jabatan untuk diperincikan.

Item 93.7 berkenaan Dasar Pemisah juga tidak diperincikan. Namun jelas ianya ditujukan buat pegawai-pegawai berprestasi rendah dan bermasalah. “Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas”.

Item 93.8 membenarkan pegawai yang tidak bersetuju ke SBPA untuk diberi opsyen memilih Umur Persaraan Paksa 60 tahun (mengapa terma ‘paksa’ digunapakai, dan tidak terma ‘wajib’ adalah sesuatu yang mendatangkan kemusykilan – mungkinkah aku tertinggal keretapi dalam hal penggunaan terma ini)

Item 93.9 adalah berkenaan Kebolehalihan. Berikut adalah petikan para 69 dan 70 berkenaan item ini.

“Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan lagi mobiliti pegawai dalam perkhidmatan, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan dasar pelepasan dengan izin dan menggantikannya dengan dasar pelepasan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2012. Pemansuhan dasar ini membolehkan tempoh perkhidmatan pegawai diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah persaraan dengan syarat pegawai dilantik semula dalam Perkhidmatan Awam.”

“Dari segi pelaksanaan, pegawai perlu memaklumkan kepada Ketua Jabatan secara bertulis mengenai hasratnya untuk meninggalkan jawatan yang disandang bagi tujuan menerima pelantikan baru dalam Perkhidmatan Awam. Pelepasan jawatan tersebut akan berkuat kuasa mulai tarikh pegawai dilantik ke jawatan baru itu. Manakala, pegawai yang akan dilantik ke Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan serta pegawai yang berhenti daripada Perkhidmatan Awam hendaklah meletak jawatan.”

Suatu dasar yang sangat menarik. Tidak ada lagi kes-kes pelepasan tanpa izin walaupun anda akan berpindah ke sebuah jabatan awam lain. Namun, menarik juga untuk difikirkan bagaimana kesnya dengan staf-staf UiTM contohnya yang terikat dengan perjanjian biasiswa universiti dan perlu berkhidmat untuk tempoh-tempoh tertentu. Adakah dasar ini membolehkan staf berpindah ke jabatan atau universiti lain dengan lebih mudah (termasuk sebelum tamat tempoh tersebut)? Perlu tunggu dan lihat…

Item 93.10 pula menyatakan bahawa bayaran pencen bagi pegawai yang bersara pilihan di dalam SSM, akan turut menerima pencen mereka pada umur 55 tahun. Sedikit kajian pindaan Akta Pencen juga mendapati tempoh masa kelayakan bagi pencen terbitan juga telah ditambah drpd 12.5 tahun kepada 20 tahun. Aku kurang pasti apakah kelebihan  pertambahan tempoh ini.

Jadi bagaimana pula dengan pegawai yang bersetuju menerima opsyen SBPA?

Berikut adalah beberapa perkara yang termaktub kepada mereka yang menerima SBPA:

1) Di dalam bentuk kemudahan tambahan, pegawai bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dikatakan akan diberi peluang yang lebih luas bagi untuk menghadiri kursus pendek di institusi latihan terkemuka di dalam dan luar Negara. Di dalam kes pensyarah, tidak pastilah bagaimana peluang ini akan direalisasikan memandang jumlah pegawai yang ramai.

2) Satu sistem penilaian kompetensi baru diperkenalkan – PROSPEK _Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi bagi tujuan naik pangkat. Ada dua penilaian terdiri daripada Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP). PKP adalah untuk mengenal pasti kompetensi dan potensi pegawai, manakala BKP bertujuan membangun dan menilai kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang gred jawatan lebih tinggi.

Sekiranya pegawai tersebut terlibat dengan dengan pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan maka perlulah mengikuti PKP dan BKP sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat. Bagi pegawai yang tidak terlibat dengan tugas-tugas pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan, hanya perlu melalui PKP sahaja. Selagi sistem ini tidak diperincikan, di atas kertas ini membuatkan pegawai seperti pensyarah yang di universiti pasti berfikir dua kali untuk memegang sebarang jawatan. (walaupun sekarang ni sudah ramai yang berfikir 3-4 kali untuk pegang jawatan pentadbiran) 😉

3) Isu gaji pula tidak boleh dikomen sbb ketiadaan Lampiran C. Ditambah pula cara penilaian prestasi baru yang tiada perincian. Jadual gaji hanyalah sebaris seperti masa SSB dahulu. Ada yang mengatakan penilaian prestasi di dalam SBPA kemungkinan lebih ketat memandangkan kenaikan gaji tahunan yang lebih tinggi. Namun jumlah kenaikan tahunan  adalah pergerakan gaji biasa sahaja (macam biasa aku dengar bentuk pergerakan ini he..he..he). Entahlah sukar untuk dibuat perbandingan selagi maklumat terperinci tidak dimaklumkan.

Dalam erti kata lain secara amnya hanya 3 perkara di atas, terutamanya di dalam kes perkhidmatanku yang membezakan antara SSM dan SBPA. Semua perkara di dalam item 93 turut terpakai bagi pegawai yang menerima SBPA.

Akhirnya, kemungkinan ramai yang akan berbalik kepada jumlah kenaikan gaji yang diterima bagi membuat keputusan ataupun meneliti kembali keseluruhan kemudahan dan pembaharuan SBPA ini ke atas kerjaya masing-masing. Walau apapun, mohonlah panduan daripada Allah, Solat Istikharoh sebelum membuat keputusan. Insya Allah, dipermudahkan.

UPDATE: Ada kemungkinan besar PROSPEK akan juga digunakan bagi pegawai yang kekal di dalam SSM kerana PTK yang telah dimansuhkan bulan Jun/Julai baru-baru ini. Daripada beberapa slaid yang diupload di Sribd, kelihatan proses untuk menghadiri    kursus-kursus PROSPEK begitu ‘complicated’. AHHH!!! Sungguh lemau. Aku lebih rela buat research, dan research, dan research…

Advertisements
This entry was posted in Log, My Career, My Expression. Bookmark the permalink.

4 Responses to Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) 2012: Satu Pandangan Awal

  1. My Homepage says:

    As I web site owner I believe the content material here is extremely superb, thanks for your efforts. 808506

  2. Haji Julaihi says:

    Saya telah dilantik dalam perkhidmantan pada 9 Sept. 1977. Saya meneria opsyen persaraan 60 tahun. Umur saya ketika ini 56 tahun, sekiranya saya memilih bersara awal pada usia 57 atau 58 tahun, adakah saya akan menerima faedah persaraan secara penuh dan adakah saya layak menerima bayaran pencen bulan pada pemilihan bersara awal pada usia 57 atau 68.?

    • Ini adalah antara perkara2 yang saya pun kuramg pasti sehingga kini. Semoga kemelut ini akan selesai tidak lama lagi. Sementara itu mungkin boleh ditujukan soalan ini kepada pihak JPA.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s